Sunday, 30 January 2011

7 rombongan iblis laknatullah!





Godaan syaitan mempunyai tahap-tahap tertentu. Lebih kuat iman seseorang maka lebih hebat dan tinggilah pangkat syaitan yang datang menggoda. Waktu yang paling dahsyat adalah sewaktu sakaratul maut. Ketika ini syaitan tidak lagi datang untuk menggoda kita untuk membuat maksiat. Tetapi matlamatnya lebih hebat. Impiannya lebih tinggi daripada gunung Fuji malah mengalahkan gunung Everest. Mungkin juga lebih tinggi daripada langit. Tujuan syaitan kali ini adalah untuk menukar akidah kita.



Rasulullah S.A.W pernah bersabda,



"Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan ketika saat maut."


Iblis yang ditugaskan untuk mengganggu manusia ketika Sakaratul Maut disusun menjadi 7 golongan....


Rombongan 1

Datang Iblis dengan pelbagai rupa seperti emas, perak, makanan dan minuman yang lazat. Jika orang yang dalam Sakaratul Maut itu sewaktu hidupnya sangat tamak dan haloba kepada barang-barang tersebut, maka akan disogokkan segala keperluan itu sehingga nyawanya terputus daripada tubuh. Inilah keadaan mati yang lalai dan lupa kepada Allah S.W.T (kematian munafik dan fasiq). Golongan yang gemar memasak jangan takut pula, semuanya bergantung kepada amal kita di dunia ini.


Rombongan 2

Datang Iblis kepada orang yang sedang dalam Sakaratul Maut itu menyerupai binatang yang paling ditakuti manusia seperti ular, singa, harimau, naga, dinosaur, buaya, kala jengking yang berbisa. Maka orang itu akan meraung sekuat hati. Saat itu terputuslah nyawa daripada badannya.


Rombongan 3

Datang Iblis Laknatullah yang menyerupai binatang yang amat diminati oleh bakal si mati. Jika dia berminat kepada burung, maka syaitan akan menjelma menjadi burung tersebut. Apabila tangan orang yang hendak mati itu ingin memegang binatang kesayangannya itu, matilah dia dalam keadaan lalai dan lupa terhadap Allah. Maka nerakalah tempat pengakhirannya. Bagi peminat kucing, jangan risau..yang penting kita teguhkan akidah kita kepada Allah. Jangan kita membenci pula kepada binatang ini kerana yang menentukan sama ada kita tergoda atau tidak kepada godaan syaitan ini adalah iman kita kepada Allah.


Rombongan 4

Datang Iblis dalam bentuk manusia yang paling dibenci oleh bakal si mati. Maka si mati itu akan berusahalah untuk menggerakkan tubuhnya bagi melakukan sesuatu kepada orang yang dibencinya itu. Kemudian sewaktu itulah maut datang dan matilah dia dalam keadaan fasiq dan munafiq.


Rombongan 5

Datang pula Iblis menyerupai orang yang kita sayang. Contohnya ayah, ibu, nenek, atuk, adik, kakak, isteri dan sanak saudara. Iblis menjelmakan diri mereka menjadi orang yang kita sayang dan membawakan kita air. Sedangkan ketika itu kita sangat dahaga. Maka berkatalah Iblis,

'Wahai anakku, inilah sahaja minuman yang kami bawakan kepadamu dan berjanjilah engkau akan menuruti kami. Engkau akan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.'

Maka jika dia sudi mengikut pelawaan itu tanpa berfikir panjang lagi. Ketika waktu itulah dia mati dalam kekafiran yang nyata


Rombongan 6

Iblis akan datang menjelmakan diri menjadi ulama' yang membawa banyak kitab. Dia cuba meragukan kita tentang Zat Allah serta memberi ceramah yang mengelirukan. Maka kita pun akan ragu-ragu tentang kewujudan Allah dan akidah kita selama ini. Dalam keraguan itu, Malaikat Izrail pun datang mencabut nyawanya. Maka matilah dia dalam kekafiran dan kekallah dia dalam neraka. Terhapuslah segala amalan baiknya ketika di dunia dahulu.


Rombongan 7

Rombongan terakhir Iblis adalah yang paling hebat. Rombongan ini terdiri daripada 72 barisan ( sama seperti sabda Rasulullah S.A.W bahawa umat Islam akan terbahagi kepada 73 barisan dan satu sahaja yang masuk syurga serta selainnya masuk neraka. Mereka yang masuk syurga ialah mereka yang berpegang kepada al Quran dan Sunnah ( Ahli Sunnah Wal Jamaah ).Ketahuilah sesungguhnya Iblis Laknatullah akan menggoda manusia dengan 72 macam godaan. Setiap satunya berlainan.


Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia itu kalimah ' La ilaaha illAllah' untuk menyelamatkan dirinya daripada golongan Iblis yang sedaya upaya mahu menyesatkan umat manusia. Bersesuaian dengan sebuah hadis yang bermaksud,

"Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu : 
La ilaaha illAllah"


Sumber: Sakinah karya A.Ubaidillah Alias





p/s: semoga kita sentiasa terpelihara daripada godaan syaitan laknatullah...ameen

Saturday, 29 January 2011

Maha Melihat

masa akan terus berlalu..

Seiring waktu berlalu tangis tawa di nafasku 
Hitam putih di hidupku jalani takdirku 
Tiada satu tersembunyi, tiada satu yang terlupa 
Segala apa yang terjadi Engkaulah saksi

Kau yang Maha Mendengar 
Kau yang Maha Melihat 
Kau yang Maha Pemaaf 
PadaMu hati bertobat 

Kau yang Maha Pengasih 
Kau yang Maha Penyayang 
Kau yang Maha Pelindung 
PadaMu semua bergantung

Yang dicinta kan pergi 
Yang didamba kan hilang 
Hidup kan terus berjalan 
Meski penuh dengan tangisan

Andai bisa ku mengulang waktu hilang dan terbuang 
Andai bisa ku kembali hapus semua pedih 
Andai mungkin aku bisa, kembali ulang segalanya 
Tapi hidup takkan bisa, meski berair mata

sumber: nasyid (opick)

p/s: masa adalah makhluk ALLAH yang sangat degil.. walau siapa pun kita, masa tidak akan pernah mengenal belas dan akan sentiasa bergerak ke hadapan tanpa pernah berpaling ke belakang..jadi, gunakanlah masa yang ada dengan sebaiknya...

Friday, 28 January 2011

Syahadah Gadis Aties


Sedikit petikan dari buku ini:

Rini seorang gadis yang sederhana, tidak bertudung dan ranggi penampilannya. Dia sangat ramah, suka ketawa tetapi adakalanya dia seakan-akan merenung jauh sesuatu dalam pemikirannya yang tidak dapat diagak oleh Nizam. Persepsi pertamanya terhadap Nizam adalah seorang kaki lepak dan remaja yang memberontak jiwanya hasil pemerhatian yang dilakukan ke atas penampilan selekeh Nizam.

Melihatkan Nizam yang hanya berselipar buruk, dia bertanya kepada Nizam tentang hal tersebut. Sebenarnya selepas menunaikan solat Maghrib di surau stesen kretapi tadi, kasut Nizam dicuri oleh manusia yang tidak berhati perut. Melihat keadaan selipar surau yang bahagian depannya dipotong membuatkan Rini tergelak besar. Kemudian, terpacul satu dialog dari mulutnya yang membuatkan Nizam terkedu sebentar.

“Tu lah..siapa suruh pergi sembahyang. Kan dah hilang kasut..” lain macam bunyinya.

Disebabkan terkedu, Nizam memandang kearahnya tanpa berkata apa-apa. Rini hanya merenung muka Nizam. “Kenapa?”. Nizam terus menjawab tiada apa-apa. Seakan tahu apa yang mengganggu fikiran Nizam, dia terus saja bertanya, “Awak percayakan Tuhan?” ‘Aduh! Pasal apa lah aku naik keretapi harini? Kan dah kena tanya soalan maut macam ni!’ bentak Nizam di dalam hati. 

Apa yang menarik tentang buku ini adalah cara penulis merungkaikan persoalan-persoalan akidah yang sangat kompleks kepada seseorang ateis. Watak Rini diperhalusi sebagai seseorang yang berilmu tetapi sudah tidak percayakan lagi wujudnya Tuhan. Soalan-soalan yang diajukan oleh Rini kepada Nizam bukanlah calang-calang soalan, tetapi soalan yang mencabar jiwa seoarang dai'e untuk menjelaskan Islam yang sebenar. Antara persoalan yang dilontarkan oleh Rini:

"Kenapa perlu saya sembah Allah?"

"Saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tak nampak...Buktikan Allah itu ada!"

"Awak cakap kitab-kitab agama terdahulu tercemar dengan tulisan-tulisan tangan manusia, boleh awak buktikan? Kalau setakat cakap, sesiapa pun boleh cakap kan? Buktikan! Itu yang saya mahu."

"Kenapa pula Allah menyuruh para malaikat dan iblis menyembah Nabi Adam a.s., sedangkan menyembah makhluk itu satu perbuatan yang mensyirikkan Allah. Boleh awak jelaskan?" 

p/s: bacalah buku ni..sangat menarik untuk perkongsian ilmu agama secara santai ^^

Thursday, 27 January 2011

Dalam Kenangan

setiap pertemuan, pasti ada perpisahan..

Assalamualaikum wbk..


alhamdulillah, syukur kepada ALLAH atas segala nikmatNYA, selawat dan salam juga kepada penghulu kita, Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat..


Hari ni genap 2 tahun arwah tanta (makcik) pergi, rasa rindu pada arwah sentiasa datang mengetuk hati aku. Aku tidaklah rapat sangat dengan arwah, sebab masa sekolah dulu aku tinggal kat asrama dan jarang pulang ke rumah. Tapi, habis SPM aku yang tolong jaga arwah, tolong bersihkan dia, tolong masakkan dan tolong apa yang patut. Rasa terkilan dengan pemergian arwah tanta masih ada dalam diri aku, walaupun perkara ni sudah 2 tahun berlalu. Tapi, sebagai manusia biasa, kita semua akan mati kan? dan pemergian arwah tanta ke alam lain bermaksud ALLAH lebih sayang akan dia, dan bila tiba masanya, aku juga akan pergi dan setiap insan yang bernyawa pasti akan kembali kepada DIA. aku ingat lagi kata-kata yang mama aku kata masa arwah pergi. Mama kata "insyaALLAH, kita jumpa di akhirat nanti, semoga ALLAH merahmatimu".. itulah kata-kata yang mama aku, sampai sekarang aku masih ingat.


Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, sama ada perpisahan yang berlaku tu sementara atau selama-lamanya. Tiada apa yang mampu aku lakukan untuk arwah tanta selain daripada doa yang mampu ku kirim untuknya. Kini, anak arwah tanta, family aku yang jaga. So, tugas aku dan family aku kena jaga Indah (anak arwah tanta) dengan sebaik-baiknya supaya besar kelak Indah akan jadi wanita yang soleha, untuk mendoakan arwah tanta..


Ya ALLAH, Engkau ampunkan lah segala dosa-dosa arwah tantaku, terimalah semua amal ibadahnya, jauhkan dia daripada azab siksaMU, tempatkan dia dalam kalangan hambaMU yang beriman..ameen..


p/s: musim silih berganti, manusia lahir dan pergi..persoalanya, apa yang telah kau lakukan dalam hidupmu? -tepuk dada, tanya diri-

Monday, 24 January 2011

Sifat Mazmumah


picture by google image

Assalamualaikum wbk..

Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela dan keji). Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh menghalang kita mendapat balasan syurga.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina."(Al-Mukmin:60)

Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.

Imam Al-Ghazali berkata : Orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.

Takbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam.Dengan angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya. Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap rasul-Nya dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.

Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.

Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya. Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :

1. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa.

2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.

3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.

4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.

5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.

6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Ya Allah...hiasilah kami dengan sifat mahmudah... dan jauhkan kami dari sifat mazmumah

Ya Allah tetapkanlah hati kami dan janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami.

suber: halaqah.net

p/s: semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.

Cinta sentiasa CELIK


semua insan perlukan cinta..

Assalamualaikum w.b.k..
Alhamdulillah, aku datang kembali untuk meng'update' blog ni yang sudah sekian lama ditinggalkan sepi, tiba-tiba rasa rindu datang bertandang.. semoga ALLAH merahmati kita semua hambaNYA..ameen
Saban hari persoalan tentang cinta sering menjadi topik perbualan oleh setiap kita yang bergelar manusia. Mungkin bukan setiap hari, tetapi setiap saat, eh bukan-bukan.. ayat yang paling tepat adalah setiap detik, pasti ada di antara kita di dunia ini yang berbual, berdailog, berfikir, dan melafazkan cinta. Bagai tiada penghujungnya jika kita bercakap mengenai cinta kerana ungkapan cinta ini sudah tersemat dalam setiap hati sanubari manusia tidak kira sama ada mereka itu masih mentah di dalam buaian ataupun sudah melangkau usia hampir sedekad. Naluri dan perasaan manusia itu sentiasa menginginkan perasaan cinta itu dalam diri mereka, tidak kira daripada insan tersayang, ataupun keluarga tercinta, malah flora dan fauna juga boleh dijadikan saksi di kala kita memerlukan cinta, kerana cinta itu luas aspeknya sehingga meliputi seluruh alam jika kita dapat tafsirkan makna cinta sebenar. Tipulah jika saya katakan bahawa tiada seorang pun di antara kita tidak mempunyai perasaan yang dinamakan cinta.

Cinta itu amatlah indah, memang indah sekali. Tidak dapat dinafikan keindahannya jika kita membandingkan di antara semua perasaan lain yang ada di dalam diri manusia. Cubalah tanya pada perasaan sayang, pasti cintalah yang dijawabnya. Cuba tanya pada benci apa yang paling indah, "sudah tentu cinta", jawab benci. Kerana dari cinta itulah dapat memadamkan segala kebencian di dalam diri dan mewarnai lagi perasaan sayang di dalam hati. Ia mampu mencairkan besi yang panas membara dan ia juga mampu membekukan air di lautan luas, betapa hendak menggambarkan keindahan cinta itu. Mungkin itu sebabnya ramai juga di antara kita yang lemas di dalam lautan cinta apabila cintanya hanya bertepuk sebelah tangan.

Adakah cinta itu buta?? Seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang apabila sudah tiada cinta di hatinya?? Saya tidak menyalahkan sesiapa pun kerana setiap dari kita punyai perspektif yang berbeza tentang cinta. Sebenarnya cinta itu tidaklah buta seperti apa yang kita sangka. Cinta itu sentiasa celik dan akan 'celik' sehingga ke alam barzakh nanti wahai saudara-saudari sekalian. Kita sendiri sebenarnya yang telah mem'buta'kan cinta itu sampai kita menyalahkan cinta seratus 100% dan dari situ bertukarnya daripada 'cinta itu indah' kepada 'cinta itu buta'. Jadi adakah 'kita' atau 'cinta' yang salah dalam soal ini? Sama-sama kita fikirkan.. dan sekali lagi saya ingin nyatakan cinta itu tidak pernah sesekalipun buta tetapi cinta itu sentiasa celik.

Berhati-hatilah wahai pemuda pemudi remaja, apa yang dapat dilihat istilah cinta pada zaman sekarang sudah disalah tafsir oleh kita semua. Tidak lagi se'romantik' dahulu kerana pabila cinta dilafazkan, maka nafsu terus menghantui perasaan dan berakhirnya sandiwara asmaradana dengan terhasilnya anak luar nikah dan perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Adakah ini semua angkara cinta?? Tidak!! tetapi nafsulah penyebabnya. Jangan disalahkan cinta walau sekalipun. Mempunyai perasaan cinta bukanlah suatu jenayah, tetapi haruslah kita mengawal cinta itu dengan sebaiknya agar tidak tergelincir dari landasan kebenaran.
Kesetiaan dan tolak ansur merupakan aspek yang paling penting jika kita berada di dalam alam percintaan. Tanpa kedua-duanya mungkin cinta itu terus bersemi, tapi tidak seindah seperti yang digambarkan. Setia bukanlah bermaksud kita perlu sentiasa memegang janji sahaja, tetapi setia juga perlulah ada kuasa memaafkan seseorang jika mereka melakukan kesalahan, kerana kita manusia tidaklah sesempurna mana dan pasti ada kesilapan yang dilakukan walaupun sedikit. Tolak ansur amatlah penting bagi mereka yang bercinta kerana dari situlah kita akan mengenali pasangan kita dengan lebih dekat dan rapat. Apabila telah wujudnya kedua-dua aspek di dalam cinta seseorang, maka mereka itu boleh digelar sebagai pasangan bahagia, insyaAllah.

entry ini bukanlah hendak menggalakkan pasangan yang bukan muhrim untuk menghangatkan cinta mereka, kerana kita juga sudah tahu batas-batas syariah bagi mereka. Tetapi adalah untuk memberi kesedaran bahawa cinta itu sebenarnya indah. Cuma bergantung kepada kita bagaimana hendak mengindahkannya, dan seperti yang  ditulis pada awal bicara bahawa skop cinta ini luas, bukanlah hanya tertumpu pada sesama makhluk sahaja. Paling penting adalah bagaimana kita hendak mengindahkan cinta kita kepada yang Maha Esa, yakni Allah Subhanahu Wataala..
"Cinta adalalah kejujuran, ketulusan, dan kesetiaan. Cinta sejati adalah kesucian yang harus dijaga. Cinta semestinya berhulu iman, bermuara takwa dan kebersihan jiwa"


sumber: halaqah.net

p/s: ya ALLAH . . aku jatuh cinta . . ^_^

Wednesday, 19 January 2011

Keajaiban Kasih Sayang

picture by Google

Assalamualaikum wbk . .
‘Ya Allah, sayangilah ibu ayah kami sebagaimana mereka berdua menyayangi dan mendidik kami sewaktu kami kecil’.
Doa sebegini sangat perlu dibaca setiap hari supaya Allah mengekalkan kasih sayang kita pada anak-anak.
Mendidik dengan cinta dan sayang berbeza dengan mendidik dengan sumpah seranah serta maki hamun. Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak.
Bayangkan jika ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak, mereka akan melihat anak itu seperti mereka melihat kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin akan menganggap anak sebagai beban yang menyusahkan.
Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang tugas sukar dan meletihkan. Terima kasih dan syukur tidak terhingga kepada-Mu Ya Allah atas nikmat kasih sayang ini.
Bayangkan bebanan ibu ketika melahirkan anak yang terpaksa berdepan dengan sakit yang tidak terperi, darah yang tumpah dan tidak bermaya.
Namun, apabila melihat bersih dan suci wajah bayi yang dilahirkannya maka akan hilang segala derita dan bebanan yang ditanggung. maha suci ALLAH yang memberi peluang kepada ibu ayah melihat wajah kudus anaknya..(insyaALLAH ^_^)
Itulah ajaibnya kasih sayang yang mampu mencipta semangat dan daya juang yang luar biasa ibu bapa terhadap anak-anak.Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina semangat dalam mendidik anak. Setiap anak berbeza gelagat dan kerenahnya.
Bagi ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja.
Allah s.w.t menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya. Mendidik anak tidak selalunya rata dan mendatar saja kerana ada kalanya kita menerima ujian di luar jangkaan.
Jadi, kasih sayang mengukir ketabahan dan kegigihan buat ibu bapa. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi, luahkan rasa sayang dan harapan, teruskan usaha mendidik secara berterusan dengan penuh kesabaran.
Persoalannya, pernahkah anda menatap wajah orang yang anda sayangi itu? Contohnya ibu, ayah, suami dan isteri.
Jika tidak pernah cubalah pandang-pandang dan perhatikan wajah orang yang banyak berbakti kepada kita itu kerana ketika sedang tidur, itulah wajah yang paling jujur.
Wajah ketika tidur menceritakan segala-galanya. Tanpa kata, tanpa suara seolah dia berkata: “Betapa lelahnya aku hari ini, demi anak-anak dan keluarga aku sanggup melakukan segala-galanya”.
Renung dan tataplah wajah orang yang kita sayang itu ketika dia menutup mata ketika tidur sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya.
Jangan lupa pesanan kudus daripada langit ketika mendidik anak-anak: 
“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala”.
sumber: epondok.wordpress

p/s: aku sangat menyintai kedua ibu bapaku, selepas ALLAH dan Rasulku.. semoga ALLAH merahmati mama dan bapa buat selamanya..ameen..

Tuesday, 18 January 2011

Cinta Tidak Bermusim


picture by Google 


Assalamualaikum wbk, alhamdulillah.. syukur atas segala rahmat dan kurniaNYA.. selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat baginda..


Kini telah separuh menjejaki bulan Safar. Bulan Rabiul Awal akan menjelang tidak beberapa hari lagi, bulan indah penuh nostalgia bagi semua umat Islam. Tapi hanya bagi mereka yang merasai manisnya iman yang sebenar.

Perarakkan, selawat, ceramah, bacaan rawi dan makan-makan antara keraian umat ini dalam memperingati seorang kekasih yang sekian lama meningggalkan kita.

Anda punyai seorang kekasih, apakah yang pasti dilakukan agar cinta yang tersemi makin segar dan mekar indah? Saya yakin bagi yang ber'couple' lebih memahami pendekatan terbaik agar tasbih cinta makin rancak zikirnya.

Hal yang sama perlu kita fikirkan bila mengaku Rasulullah saw sebagai kekasih hati.


Cinta yang segar, cinta tanpa musim.

Seorang suami yang menyayangi isterinya secara bermusim, setahun sekali. Mampukah cinta sebegini dinobatkan sebagai cinta sejati?


Setahun sekali melafazkan ayat-ayat cinta.
Setahun sekali menurut segala kehendak si isteri.
Setahun sekali keluar melancong.
Semuanya digambarkan sehari dalam setahun.
Bagitu juga halnya dengan cinta kepada Rasulullah saw
Setahun sekali selawat dialunkan
Setahun sekali sunnah diamalkan

Setahun sekali .......



Adakah ini cinta sebenar?

Saya yakin sekiranya rumahtangga yang terbina dengan keindahan setahun sekali, ianya mungkin indah dipandang dari luar namun ibarat rumah yang dimamah anai-anai. Menanti sebuah keruntuhan.

Tuntasnya, cinta bermusim kepada Rasulullah saw seolah-olah cinta tanpa isi.
Tidak salah Rabiul Awal dijadikan medan penyebab mekarnya sayang Rasul, namun jadikan ianya anjakan untuk cinta itu terus menerus subur dalam dakapan jiwa nurani.



Berbalaskah sebuah cinta?

Mana mungkin sebuah perasaan kasih hanya daripada sebelah pihak. Mungkin sebab itu istilah Bahasa Melayunya ‘kasih sayang' lebih menjelaskan maksud yang dalam pengertiannya.

Cinta juga kasih dan sayang adalah kesan akibat daripada dua perasaan yang berhubungan. Mudah sekali melafaz kata-kata cinta, tapi untuk mendapat balasannya sesuatu yang masih belum kepastiannya.

Mana ada yang mengaku tak sayang kepada Rasulullah saw. Tapi yang banyaknya tidak lebih daripada sebuah lafaz. Mungkinkah cinta kita dengan Rasul saw masih bertepuk disebelah tangan?

Cinta sejati pastinya bersyarat. Ada bezanya antara cinta suami dan isteri, anak dan ibubapa bila dibandingkan dengan cinta kepada Rasulullah saw. Syaratnya lebih mudah namun pelaksanaanya memohon korban. Korban nafsu dan semangat mujahadah.


Syarat sebuah cinta

Tiga golongan yang mampu mengecapi kemanisan iman :

Allah dan Rasul lebih sayangi daripada segala-galanya

Tidak dia mengasihi seseorang kecuali semata-mata kerana Allah
Dia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya untuk dicampakkan ke jurang neraka. (Mafhum Hadis)

Syaratnya cukup mudah. Sayang mesti lebih daripada yang lain. Sayang Allah dan Rasul lebih daripada sayang ibubapa, isteri, suami, anak-anak, harta, pangkat dan segala-galanya.

Sayang bukan sekadar lafaz, namun buktinya pada gerak laku seharian. Hidupkan sunnah nabi saw daripada sekecil-kecil perkara hinggalah yang terbesar.

Bukan hanya bersugi dan solat berjemaah, atau berselawat mahupun beramar maaruf. Sunnah nahi mungkar, berekonomi, berpolitik, bernegara, bermuamalat, hubungan antarabangsa, berkeluarga, berjiran, berjihad, ......

Tanda kasih sayang kepada Rasullullah saw juga ialah mengekang nafsu dalam perkara haram dan makruh. Juga wara' walaupun pada perkara yang halal.

Cinta tanpa rukun dan syarat pastinya cinta yang kudus.

Tidak pelik untuk mencintai, namun hebat bila dicintai.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
sumber: Hati seorang ummi

p/s: cinta yang hakiki hanyalah cinta pada ALLAH dan Rasulnya.. cinta yang sejati tidak bermusim yang silih berganti, tetapi  kekal untuk selamnya . .

Tuesday, 11 January 2011

Kematian

setiap yang berjiwa pasti akan merasai mati..


Assalamualaikum wbk..

Alhamdulillah, syukur atas nikmatNya, kerana masih memberi peluang kepada insan lemah ini untuk bernafas sekali lagi di dunia ini. Alhamdulillah. Berkisah tentang kematian, pasti semua gerun untuk menghadapinya. Kematian adalah kepastian, setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menghadapinya. Samada suka atau tidak ia pasti akan berlaku, cepat atau lambat juga akan berlaku, kerana kita hidup di dunia ini cuma sementara dan kepadaNya jua kita pasti kembali.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (QS. 29:57)

Pagi tadi dapat call dari mama, katanya ayah seorang sahabat baik meninggal dunia semalam (Isnin). Terkejut mendengar berita. Apa lagi yang mampu aku lakukan selain berdoa kepada ALLAH semoga arwah ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang diredhai, Amin. Semoga keluarga ditinggalkan kuat dan redha akan pemergiannya. 

perjalanan rohku melengkapi semua kembara
singgah di rahim bonda sebelum menjejak ke dunia
menanti di Barzakh sebelum berangkat ke Masyar ..


Sayup-sayup kedengaran lagu nasyid Menanti di Barzakh..Ya, hidup ini sementara cuma, semua yang kita miliki di dunia ni pasti akan kita tinggalkan kecuali 3 perkara, iaitu sedakah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak-anak yang soleh. Bila memikirkan tentang kematian, rasa takun pasti ada, Alangkah sakitnya mati. Pabila terpisahnya roh dari jasad maka terpisah lah sudah dengan dunia dan segala isinya. Hanya kain putih yang menemani jasad di mamah bumi.

"Mahasuci ALLAH yang di dalam genggaman kekuasaanNYA seluruh kerajaan, dan Dia maha kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah yang paling baik amalnya, dan sesungguhnya Dia maha mulia lagi maha pengampun"(QS Al-Mulk [67]:1-2).
Kematian boleh berlaku di mana-mana sahaja dan boleh berlaku dengan pelbagai cara seperti sakit, kemalangan, dibunuh, terbunuh, perang dan sebagainya. Malah kematian juga tidak mengenal usia. Istilah tua mati dulu sama sekali tidak benar! Maka, Tugas kita sebagai manusia ialah perlu bersedia menghadapinya kerana ALLAH telah merahsiakan tarikh kematian semua makhlukNya. Setiap detik-detik yang telah kita lewati semakin mendekatkan kita kepadakematian.
Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja.” (QS. 33:16)
Ya ALLAH, hanya padamu kami memohon pertolongan dan perlindungan. Berilah kekuatan kepada kami dalam menghadapi kematian, tempatkanlah kami dalam kalangan hambaMU yang Kau redhai. Amin..
p/s: Manusia diciptakan seorang diri dan bersedialah untuk menghadapi kematian juga seorang diri..

Friday, 7 January 2011

Hakikat Suatu Perjalanan

berjalanlah di atas landasan TuhanMu..

Assalamualaikum wbk..

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...
Kalimah tahmid yang terungkap mengucapkan syukur kepada ALLAH di atas segala rahmat dan kurniaNYA yang tidak terkira.

Hampir sebulan menghabiskan cuti semester dan kini kembali semula ke bumi Tanjung Malim untuk meneruskan perjuangan sebagai bakal murabbi, insyaALLAH. Masa terus berlalu sama ada dalam sedar atau tidak. Samada kita merelakannya atau tidak dan samada kita memanfaatkannya ataupun tidak. Baru kini merasa hidup di tahun 1430H dan 2010 namun, masa terus berjalan dan semakin terasa hakikat kehidupan ini sebagai suatu perjalanan, malah menghayatinya dengan segenap makna sebuah perjalanan.

Setiap yang hadir, kemudian kan melintasi, melalui seterusnya meninggalkan dan takkan kembali. Begitulah perjalanan kehidupan yang bagaikan jalan sehala tanpa boleh berpatah balik namun tidak boleh berputus asa.

Hidup ini mengandungi jutaan “pergi tak kembali” sebelum tiba detik “pergi tak kembali”. Betapa banyak hari dalam kehidupan kita yang sudah “pergi tak kembali” yang menghanyutkan kita ke persisiran “pergi tak kembali” yang benar-benar pasti. Inilah yang namanya perjalanan. Memang bukan kita yang memilih untuk berjalan dalam kehidupan yang kita sendiri tidak memilih bila dan bagaimana kesudahannya. Namun, kita disuruh memilih corak perjalanan kita sepanjang anugerah perjalanan hidup ini agar menentukan corak kesudahan perjalanan tersebut.

Dunia ini benar bagai suatu tempat perhentian bagi musafir berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Ketika melihat bilangan hari yang telah berlalu, terasa tidak banyak menunaikan haknya atau menunaikan tugas kehambaan sebaiknya padanya. Bagaimana pula dengan bilangan hari yang telah berlalu dalam seluruh jumlah usia kita yang telah berlalu?

Banyak benar masa-masa yang telah berlalu namun kosong dari ketaatan dan penunaian tugas kehambaan. Bagaimana pula dengan masa-masa yang telah diisi dengan kemaksiatan (semoga Allah s.w.t. mengampuni dosa-dosa diri yang penuh hina ini)? Sekarang sudah di tengah-tengah perjalanan, di tengah-tengah usia kehidupan. Esok belum menjanjikan kepastian yang dapat mententeramkan rasa kerugian hari ini dek kehilangan banyak masa yang telah dianugerahkan. Masya Allah… banyaknya masa yang telah dibazirkan dan yang pasti, masa itu tidak mungkin akan berpaling dan membantu kita menuanaikan hakNYA semula. Namun, masa yang mendatang masa memberi kita ruang dan peluang untuk menjadi hambaNYA dengan sebenar-benarnya. Ya ALLAH, bantulah aku..

Perjalanan hidup ini menuju suatu kepastian. Kematian itu pasti datang sebagai tanda kesudahan bagi suatu perjalanan. Malah, setiap yang pasti datang itu terlalu dekat. Permulaan kehidupan itu adalah peluang. Pertengahan kehidupan itu adalah perjalanan dan perlu lebih menghargai hari-hari yang mendatang dan meminta ampun atas kekurangan dalam mengisi hari-hari yang telah berlalu. Kesudahan kehidupan itu adalah destinasi, penutup peluang dan waktu mengambil keputusan.

Justeru, di permulaan perjalanan, kita perlu banyak mengharap rahmat Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. membantu kita dalam menjalani sebuah jalan kehidupan menuju redha dan cintaNya. Kita tidak akan memilih jalanNya kalau bukan Allah s.w.t. yang memilih kita untuk menujuNya. Hanya dengan rahmat dan kasih Allah s.w.t. sahaja, Allah s.w.t. memilih kita untuk menujuNya agar mencapai redhaNya.

Jika hari-hari yang telah berlalu dalam usia kita itu merupakan hari-hari yang kita tidak melangkah menuju Allah s.w.t., maka jadikan sekarang, hari ini, adalah permulaan perjalanan kita menuju Allah s.w.t. dengan mengharapkan bantuanNya di sepanjang perjalanan kita menujuNya. Kita justeru tidak akan berjalan menujuNya tanpa rahmatNya, maka harapkanlah sentiasa rahmatNya menemani perjalanan kita menujuNya. Jangan putus asa biarpun kita lambat memulakan langkah. Sesungguhnya, jalan menuju Allah s.w.t. itu pada siapa yang jujur, bukan pada siapa yang terlebih dahulu sudah melangkah menujuNya. Baru dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. bukan bererti suatu kelewatan dan sudah lama dalam perjalanan itu juga bukan bererti suatu keselesaan.

Jika kita sudah berada di pertengahan perjalanan menuju Allah s.w.t., maka kita sangat memerlukan keampunan Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. mengampuni keterlanjuran kita tatkala menghabiskan banyak usia yang telah lalu tanpa ketaatan kepadaNya. Hanya dengan keampunan terhadap keterlanjuran yang lalu, dapat membantu kita terus fokus dalam menunaikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t. di hari-hari yang mendatang. Hanya pengampunan dari Allah s.w.t. terhadap dosa-dosa yang telah lalu akan menjadi kekuatan dalam terus menuju Allah s.w.t. dengan menunaikan kehambaan kepadaNya.

Hujung perjalanan kehidupan itu adalah waktu menerima keputusan. Tiada lagi peluang. Yang ada hanyalah debaran, penyesalan atau keseronokan. Pada ketika itu, cukuplah bebas dari api neraka itu sebagai suatu keputusan yang sangat bermakna buat setiap hambaNya. Barangsiapa yang bebas dari api neraka akan dimasukkan ke syurga. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalam syurga, maka dialah orang yang berjaya. Oleh yang demikian, di penghujung perjalanan, mendapat keputusan bebas dari api neraka itu adalah suatu keputusan yang sangat mengembirakan para hamba Allah s.w.t.. Ini kerana, kesudahan usia kita, kita sangat memerlukan pelepasan dari api nereka yang merupakan natijah dari rahmat dan keampunan Allah s.w.t..

Selagi usia masih berbaki dan kematian masih belum mengunjung tiba, maka hargailah 
perjalanan ini. Andai memilih untuk tidak menghargainya, bererti anda memilih untuk tidak menghargai diri sendiri. Kehidupan ini simbol hubungan kita dengan Allah s.w.t.. Berjalanlah menuju Allah s.w.t. dalam kehidupan kita, nescaya kita dapati Allah s.w.t. lebih lagi mendekati kita. Malah, tanpa Dia mendekati kita, siapalah kita untuk mendekatiNya.

Yang dikatakan kemuliaan insan itu adalah, orang-orang yang didekati (muqorrobin). Iaitu, orang-orang yang mendekati Allah s.w.t dengan ketaatan dalam masa yang sama melihat ketaatan yang dilakukan adalah anugerah Allah s.w.t. kepada dirinya kerana Allah s.w.t. sendiri memilihnya untuk mendekatiNya.


P/S: Bukan semua orang yang berjalan itu sampai. Namun, orang yang memang tidak memulakan langkah untuk berjalan memang pasti tidak sampai. Berbaik sangka kepada Allah s.w.t., lalu mulakan perjalanan dan teruslah berjalan sampai masa yang telah ditetapkan.

Sumber: Halaqah.net


Thursday, 6 January 2011

Perjuangan

berjuanglah kerana kebenaran

Assalamualaikum . .

Allahu Akhbar!!!! 

berjuang menempah susah
menanggung derita menongkah fitnah
itulah gelombang hidup samudera duka
seorang mujahid memburu syahid

dibuang dia berkelana
dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
namun jiwa tetap mara menuju cita
membara demi allah dan rasulnya

berjung tak pernah senang
ombak derita tiada henti
tenang tegang silih berganti
inilah sunnah orang berjuang

malamnya bagai rahib merintis sayu
dihiris dosa air mata
siangnya bagaikan singa di rimba
memerah keringat meluah tenaga

berjuang memang pahit
kerana syurga itu manis
bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
bukan sedikit pedih yang ditagih

berjuang ertinya terkorban
rela terhina kerna kebenaran
antara dua pasti terjadi
tunggulah syahid atau menang

berjuang tak pernah senang
ombak derita tiada henti
tenang tegang silih berganti
inilah sunnah orang berjuang

malamnya bagai rahib merintis sayu
dihiris dosa air mata
siangnya bagaikan singa di rimba
memerah keringat meluah tenaga

berjuang ertinya terkorban
rela terhina kerna kebenaran
antara dua pasti terjadi
tunggulah syahid atau menang

p/s: Sengketa melanda pada fitnah..Pilu berdarah usahlah ditambah..menabur cerita drama palsu lagi dusta..usah menghujani ehsan mgharap simpati sdg diri meniti Hasad dan dengki..Takkan hampir pada yg meracuni..Cukuplah sekali jeleknya menzalimi hati.