Wasiat Terakhir
Sabda Rasulullah SAW, Mafhumnya :
"Wahai manusia sila dengar apa yang bakal aku perkatakan ini. Aku tidak tahu apakah yang akan dapat lagi aku bersama kamu semua selepas ini, di tempat ini, selepas tahun ini selamanya."
"Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan dirimu telah terpelihara (diharamkan sesiapa pun daripada mengkhianatinya) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini (Makkah dan sekitarnya)."
"Sesiapa yang memegang amanah maka hendaklah dikembalikan amanah tersebut kepada tuannya. Ingatlah sgala amalan jahiliah telah berada dibawah kakiku (telah dihapuskan)."
"Tuntutan hutang darah pada zaman jahiliah telah diampunkan . Tuntutan darah yang pertama telah aku batalkan ialah darah Ibn Rabi'ah bin al-Harith yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
"Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbaz bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan semuanya secara keseluruhan."
"Wahai manusia! Takutilah ALLAH SWT dalam urusan berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada ALLAH SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat ALLAH. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perkara buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka, tapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib bagi kamu untuk menjaga makan dan pakai mereka dengan baik."
"Semua orang muslim adalah bersaudara. Oleh itu, tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya."
"Janganlah kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku dengan sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan kepada kamu satu panduan, jika kamu berpegang kepadanya dan ajarannya maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah kitab ALLAH dan sunah
Nabi-Nya."
"Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepas aku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah ALLAH SWT , Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan dan megeluarkan zakat hartamu dengan penuh kerelaan. Kerjakanlah jua Haji ke Rumah Suci Tuhanmu (Kaabah) dan dengan itu kamu bakal menghuni syurga Tuhanmu."
"Tuhan kamu adalah Esa. Datuk kamu pula satu. Kamu semua berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Orang yang baik daripada kalangan kamu adalah mereka yang paling bertakwa kepada ALLAH SWT. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab atau bangsa lain kecuali dengan takwa."
"ALLAH SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati. Oleh itu, tidak boleh membuat wasiat kepada ahli waris penerima pusaka. Sesungguhnya laknat ALLAH ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan anaknya yang sebanar, juga akan menerima laknat daripada malaikat dan seleuruh umat manusia."
"Kemudian kamu semua bakal ditanya tentang diriku, maka apakah yang bakal kamu perkatakan?"
Kami menjawab: "Kami bersaksi bahawasanya tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu."
Lantas Baginda SAW mengangkat tangannya ke langit seraya menurunkannya ke arah orang ramai lalu berkata sebanyak tiga kali (mafhumnya) : "Ya ALLAH! Saksikanlah."
Aku insan lemah
No comments:
Post a Comment