image by katKamin flickr
Assalamualaikum wbk..
Islam agama yang menggalakkan keindahan, dalam masa yang sama ia mengajar umatnya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang telah allah kurniakan kepada diri mereka. Manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian, apa yang ada pada batang tubuh kita, itulah yang terbaik. Kita sewajarnya bersyukur dengan apa yang telah allah kurniakan
Di zaman kini, dengan pelbagai teknologi, manusia sudah mampu untuk menjadikan wajah mereka kelihatan lebih cantik daripada yang asal.ini menimbulkan persoalan, apakah hukumnya di sisi syara’. Antara isu yang sering ditanyakan ialah apa hukumnya memakai pendakap gigi.
Rasulullah SAW bersabda: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan perempuan yang minta disambungkan rambut, perempuan yang bertatu dan yang minta ditatu, perempuan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya, dan perempuan yang mencabut bulu muka dan bulu kening. (Al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW juga pernah melaknatnya, seperti tersebut dalam hadisnya:
“Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yang disebut ‘al-Falaj’, yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, agar kelihatan sedikit jarang.. Kemudian dia meletakkan sesuatu di celahan gigi itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap suatu penipuan dan berlebih-lebihan dalam berhias yang sama sekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini adalah ‘trend’ Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik.
Hadis ini secara umumnya menjadi hujah untuk menyatakan bahawa memakai pendakap gigi adalah sesuatu yang terlarang. Namun, ilmuan Islam telah membahagikan hukum pemakaian pendakap gigi kepada dua hukum, harus dan haram.
Jika dirujuk kepada umum hadis, ianya telah sabit keharaman sekiranya apabila ia dilakukan semata-mata untuk kecantikan dan menjadikan wajah lebih menarik. Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan sebab atau ‘illah diharamkan kerana adanya unsur di atas, khasnya kerana kecantikan. Tetapi jika dilakukan kerana keperluan perubatan, atau terdapat cacat pada gigi atau yang seumpamanya, tidaklah mengapa. (Syarah Sahih Muslim: 7/361).
Ia akan menjadi lebih terlarang apabila ia dilakukan untuk menipu manusia lain supaya kelihatan lebih muda dan lebih cantik. Contohnya memakai pendapat gigi agar kelihatan lebih cantik ketika mahu meminang seorang wanita dan sebagainya. Dr. Abdullah al-Faqih dan komiti fatwanya menyatakan: Jika seseorang melakukannya untuk menipu atau memperdaya sesiapa yang melihatnya, samaada ia bertujuan untuk perkahwinan atau sebagainya, maka ia terlarang.
Namun pemakaian pendakap gigi dihukumkan haru sekiranya ianya bertujuan selain daripada tujuan diatas. Hukumnya harus apabila ia dilakukan untuk menutup keaiban yang ada pada wajah seseorang. Contohnya, kedudukan gigi yang terlalu berbeza daripada orang ramai sehingga menimbulkan ketakutan kepada orang yang melihatnya. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Seandainya orang tersebut mempunyai kecacatan yang menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, tidaklah berdosa untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Ini kerana Allah tidak menjadikan agama untuk kita dengan penuh kesukaran (Al-Halal wal Haram Fil Islam).
Ia juga dibenarkan untuk dilakukan apabila untuk memperbaiki kedudukan gigi yang berubah selepas berlakunya kemalangan. Kumiti fatwa pimpinan Dr. Abdullah al-Faqih menyatakan: Tidak salah untuk memakai pendakap gigi jika ia bertujuan untuk membetulkan kedudukan gigi ketempat yang asal selepas berlakunya kemalangan (islamweb.net, fatwa no: 88719).
Ia juga dibenarkan apabila dilakukan atas sebab kesihatan, atau sebab keperluan, contohnya susunan gigi yang menyebabkan sukar untuk mengunyah makanan atau menyebabkan masalah kesihatan di dalam mulut. Syeikh Faizal al-Moulawi , Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata : Pendakap gigi bagi tujuan kesihatan adalah dibenarkan menurut syara’, bahkan ia juga diperlukan.
Sebenarnya tujuan pemakaian pendakap gigi bukan bertujuan hanya semata-mata untuk mencantikkan. Fungsi asal pendakap gigi bukan bertujuan untuk menjarangkan gigi atau mencantikkannya. Tetapi lebih kepada memudahkan fungsi gigi itu sendiri yg mungkin sebelum ini bengkang-bengkok yang memungkinkan berkumpulnya bakteria atau gigi tak tersusun yang mana mengakibatkan makanan selalu terlekat. Antara contoh lain tujuan pemakaian pendakap gigi ialah bagi mengelakkan gigi bawah yang tergigit langi-langi yang boleh menyebabkan ulser. Begitu juga gigi yang terbuka yang boleh mempengaruhi fungsi pengahadaman. Ada juga gigi yang berlapis sehingga berlaku ketidaksempurnaan ketika meberus gigi dan mengakibatkan masalah gusi dan bau mulut. Malah ada gigi yang kelihatan jongang yang bersangatan sehinggakan menimbulkan keaiban kepada dirinya.
Sekiranya berlaku kes-kes sedemikian, maka Islam tidak melarang mana-mana insan yang berusaha menghilangkan kecacatan dengan pemakaian pendakap gigi. Ini sesuai dengan garis panduan yang telah difatwakan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi :
“Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya akan dapat menjijikkan pandangan, maka waktu itu tidak berdosa kepada mereka yang berbuat demikian untuk tujuan menghilangkan penyakit yang bersarang dan mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran. (Al-Mar’ah Bainal Baiti Wal Mujtama’: halaman 105)
Maka disini, hukum pemakaian pendakap gigi berkait rapat dengan niat ataupun tujuan si pemakai tersebut. Berdasarkan Qawaid fiqh: Al-Umur Bimaqasidiha (Segala sesuatu tergantung kepada tujuannya). Sepertimana firman Allah SWT :
“Barangsiapa mengkehendakki pahala dunia Kami berikan pahala itu dan barangsiapa mengkehendakki pahala akhirat Kami berikan pahala itu. Dan Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran:145)
Juga hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“Hanyasanya setiap amalan itu dengan niat, dan hanyasanya setiap orang akan meperolehi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya iu kepada Allah dan RasulNya….” (Bukhari dan Muslim)
Apa yang disebutkan di atas tidaklah hanya terikat pada isu memakai pendakap gigi sahaja. Bahkan ia berkait rapat dengan semua aspek untuk mencantikkan tubuh atau melakukan pembedahan keatas tubuh badan. Yang hanya dibenarkan ialah apabila ia dilakukan untuk menghilangkan keaiban yang benar-benar mengaibkan, atau untuk kesihatan dan menghilangkan kesukaran yang timbul atas kecacatan tersebut, ataupun ia dilakukan untuk mengembalikannya kebentuk asal kerana kecacatan tersebut timbul selepas berlakunya kemalangan.
Ada pun semata-mata untuk kecantikan dan menjadikan diri lebih menarik, ia sesuatu yang terlarang. Selain daripada isu pendakap gigi, isu-isu lain yang perlu diambil perhatian sepertimana di dalam hadis di atas ialah isu mencukur kening. Hukum asalnya adalah haram kecuali jika kening tersebut benar-benar mengaibkan seperti dua kening yang bersambung, atau pun kerana ia menganggu penglihatan contohnya bulu mata yang terlalu panjang sehingga mengganggu mata.
Ada pun semata-mata untuk kecantikan, menipiskan, atau menjadikan diri lebih menarik, ia sesuatu yang terlarang.
Prinsip di atas juga perlu diaplikasikan keatas isu pembedahan plastic keatas tubuh. Untuk melakukannya hendaklah ia mematuhi prinsip-prinsip di atas dan ditambah satu syarat lagi, ia hendaklah tidak mendatangkan kemudharatan yang lebih besar selepas pembedahan atau ketika pembedahan dilakukan.
Walaupun pemakaian pendakap gigi bergantung kepada niat si pemakai, namun berbeza dengan amalan popular proses kecantikan masyarakat Melayu, iaitu pemakaian susuk. Hakikatnya susuk haram sama sekali tidak kira apa niat ia dipakai.
Ini kerana susuk mengandungi unsur sihir, Kerana si pemakai susuk telah meletakkan susuk itu sebagai setara dengan kekuasaan Allah iaitu dengan mengagungkan kebesaran makhluk lain selain dari Allah SWT. Sedangkan sihir merupakan satu perbuatan syirik dan termasuk di antara dosa-dosa besar.
Rasulullah s.a.w bersabda: Jauhilah tujuh dosa besar. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi: Menyekutukan Allah, sihir; membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali kerana hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh perempuan-perempuan baik (berzina) (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Allah mahukan umat sentiasa segak dalam personaliti yang unggul. Agar tampil memabawa imej Islam yang tampan. Bukan umat yang selekeh ditelan kepurbaan. Allah juga tidak menghukum umat dari terus berada dalam keaiban sepanjang hayat. Namun Allah juga mahukan umat belajar erti menerima sesuatu ketetapan tanpa sebarang unsur pendustaan.
sumber: Imam Muda Asyraf
p/s: semoga perkara yang kita lakukan mendapat redha ILAHI, insyaALLAH . .
silakan..syukran..^^
ReplyDelete