Tuesday, 28 December 2010

Mencari Bahagia

picture by Sindy photography 

Assalamualaikum wbk . .

Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia. Maka, sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkan bahagia. Bahkan, apa sahaja perkara yang dilakukan dan diusahakan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia. Betul?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini kerana ramai manusia tidak tahu makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimana cara untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha untuk mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari makna kebahagiaan terlebih dahulu.

Apa makna bahagia? Ada yang berpendapat bahawa bahagia bersifat relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi, apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara lain pula. Bagi golongan itu, kebahagiaan adalah satu moving target yang tidak spesifik. Ada pula golongan pesimis beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup ini adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia hanya satu utopia, ilusi atau angan-angan yang tidak pasti malah tidak wujud dalam realiti dan alam nyata. Benarkah begitu?

Dari manakah datangnya bahagia? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)? Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu datang daripada faktor luaran. Ia bersumber daripada harta,, kuasa, rupa, nama dan keluasan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini juga merasakan jika berjaya menjadi jutawan, hartawan, cendiakawan, bangsawan, rupawan dan kenamaan maka secara automatik bahagialah mereka. Maka, atas keyakinan itu, ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan banyak lagi.

Apakah hidup para hartawan, jutawan, rupawan, bangsawan dan cendekiawan itu bahagia? Realitinya, sudah menjadi rules of life (sunnatullah), manusia tidak mendapat semua yang diinginkannya. Tidak ada manusia yang mampu mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup merupakan satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan kelulusannya. Firman ALLAH:

"Dijadikan mati dan hidup untuk menguji manusia, siapakah yang terbaik amalannya." (surah al-mulk:2)

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis, pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia muda walaupun memiliki harta kekayaan berbillion dollar. Mereka yang rupawan tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan, Lady Diana contohnya yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali. John Lennon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizebeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan tubuhnya (sebagai contoh). Tegasnya, kesakitan, ceercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

Apa buktinya mereka hilang kebahagiaan? Tidak payah berhujah menggunakan Al-Quran dan Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, rupa yang cantik, harta yang bertimbun, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah yang kronik. Ironi sekali bila golongan penghibur inilah yang paling tidak terhibur dalam realiti kehidupan. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi. Tentu ada sesuatu yang HILANG di tengah lambakan harta, rupa dan nama yang popular itu.

Mari kita hayati persoalan ini, Apakah ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian menjadi penyebab hilangnya bahagia? Jawapannya, TIDAK!!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu ialah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan . Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji. Kerana itulah ujian bukan penyebab hilangnya bahagia. Hakikatnya, ujian hidup yang datang menimpa diri menimbulkan sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta dan kekayaan, muncullah sifat tamak, takbur dan gila puji. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanay menyelahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Jadi, tertolaklah pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor 'kesihatan' hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Secara tidal langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar - soal HATI.

Ringkasnya, kebahagiaan ialah memiliki hati yang tenang dalam mengahadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk ALLAH dalam Al-Quran. Firman ALLAH: bermaksud

"Ketahuilah dengan mengingati ALLAH, hati akan menjadi tenang." (surah al-Ra'du: 28)

Rasulullah saw juga bersabda, "Bahawasannya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh anggotanya, tetapi apabila ia rosak maka rosaklah pula seluruh anggotanya. Ingatlah ia adalah HATI." Rasulullah saw  bersabda lagi, yang bermaksud: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya HATI."  (riwayat Bukhari dan Muslim).

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki - bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada. Oleh itu, hati perlu bersih serta dipulihara dan dipelihara 'kesihatannya' agar lahi sifat-sifat mahmudah dalam diri. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara auto pilot . Yakni tanpa mujahadah dan bersusuah payah serta perlu difikir-fikir lagi. Dan kata Imam Ghazali, inilah ahakikat akhlak yang mulia.

Sumber: Solusi isu 6

p/s: Tidak susah untuk mencapai kebahagiaan andai hidup berlandaskan syariaatNYA..

No comments:

Post a Comment