Friday 14 October 2011

Pertemuan & Perpisahan


Assalamualaikum wbk..

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang satu dan tiada taranya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, baginda Nabi Muhammad saw, keluarga dan sekalian sahabat.

Dalam melayari perjalanan kehidupan, pelbagai keadaan yang akan kita lalui. Ada suka ada duka. Ada senyum ada tangis. Ya, fitrah hidup. Ada yang baik, akan ada yang buruk. Ada pertemuan akan ada perpisahan. Ungkapan setiap pertemuan akan ada perpisahan telah sebati dalam jiwa. Kisah ini yang ingin aku coretkan. Kisah aku dan teman. Kisah suka dan duka.

Sejujurnya, aku rindu. Sangat rindu akan suasana dalam kelas. Rindu akan ragam teman yang pelbagai. Ada yang ayu, ada juga yang kasar. Aku? Cuma insan biasa yang suka melihat senyum insan lain. Aku suka akan senyum yang terlakar di wajah temanku. Senyum yang membawa pelbagai makna juga rasa. Aku juga rindu akan segala tugasan yang diberi. Merungut, perkara yang acap kali aku juga teman lakukan pabila tugas yang diberi terlalu menekan. Ya! Aku pasti setiap yang bergelar pelajar juga punya rasa seperti ini. Suka atau tidak, susah atau mudah wajib disiapkan. Itu lumrah hidup pelajar.

Namun, bila semua itu dah berlalu. Rasa rindu kuat mengetuk jiwa. Meronta ingin diteruskan. Tiada yang mampu mengundurkan masa tanpa izinNYA. Masa yang berlalu akan terus berlalu tanpa kata. Jadi, kata pertemuan ada perpisahan sudah lali. Aku juga rindu kepada pensyarah yang banyak membantu. Setiap dari mereka juga ada bermacam ragam. Walau siapa pun mereka, mereka tetap insan yang telah memberi ilmu buat aku dan teman. Menjadi pengganti mama dan bapa yang jauh dimata tapi dekat dihati.

Hidup sebagai mahasiswa/i tidak sama dengan hidup sebgaai pelajar sekolah. Melangkah ke alam yang lebih mencabar ini buat aku rasa diri terlalu payah. Sukar dalam menyesuaikan hidup yang tiba-tiba berubah. Jauh dari keluarga. Terpaksa hidup dengan usaha daya sendiri. Namun, teman ini lah yang menjadi pendamping, yang menjadi keluarga suka duka bersama.

Akhirnya, Semua ini sudah berlalu. Akan melangkah ke fasa hidup yang baru. Menjadi pendidik. Bukan satu perkara yang mudah. Ada yang kata, kerja cikgu tidaklah sehebat mana. Bukan hebat itu yang dipandang. Tapi pandanglah pada jasa dan bakti itu. Sungguh, aku takut untuk melangkah. Namun, suka atau tidak bukan menjadi persoalan. Aku tetap akan melangkah selagi ada usia yang berbaki. Doaku, buat sekalian teman. Semoga kita terus kuat dalam perjuangan ini. Tetap teguh dalam mengharungi hidup ini.

Salam perpisahan buat sekalian teman. Jadikan memori itu sebagai sebahagian daripada diri. Terus kekal dam hati tiada dilupa. InsyaALLAH, Ada usia kita bertemu lagi. Selamat maju jaya ^_^

p/s: semoga dipermudahkan segala urusan, insyaALLAH.. buat sekalian teman.. jumpa lagi bila kita dah berjaya kelak, insyaALLAH..



sebutir air mata yang jatuh kerana keinsafan adalah lebih baik daripada sejuta mutiara di dasar lautan, sejernih wajah kerana wudhu yang sempurna adalah lebih bercahaya daripada kilauan segunung emas permata, sesuci hati kerana cinta ILAHI itulah hakikat cinta yang abadi..

Thursday 6 October 2011

Sembang Gaza


Assalamualaikum wbk..

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang satu dan tiada taranya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, baginda Nabi Muhammad saw, keluarga dan sekalian sahabat.

Tanah Palestin, tanah umat Islam yang perlu kita pertahankan. Tapi diri tersangat lemah dan tidak dapat bersama mereka di sana berjuang membela. Hanya mampu berdoa semoga mereka terus kuat berjuang demi Islam. Berkisah tentang Palestin, Gaza: antara sepuluh perkara yang korang boleh sembang tentang Gaza.
  • Gaza merupakan wilayah kecil Palestin yang menjadi kubu terakhirbuat rakyat Palestin mempertahankan hak-hak asasi yang mereka miliki sejak sekian lamanya
  • Dengan hanya keluasan sebesar 363 km persegi dan penduduk seramai 1.5 juta menjadikan daerah kecil ini sangat padat dengan kependudukan yang tinggi.
  • Laporan terkini mendapati bahawa lebih dua pertiga daripada jumlah penduduk Gaza ini adalah pelarian yang menyelamatkan diri mereka dari wilayah-wilayah Palestin yang telah dijajah Israel sejak tahun 1948 lagi.
  • Kini Gaza yang seluas sekangkang kera telah dikepung tanpa peri kemanusiaan oleh regim Yahudi zionis sejak bulan Jun 2007 yang lalu.
  • Penderaan, penganiayaan dan pembunuhan yang semakin dahsyat dari masa ke masa ini telah mengakibatkan krisis di Gaza semakin kritikal dan dianggap sebagai krisis kemanusiaan terbesar di abad ini oleh pelbagai badan dan pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak asasi kemanusiaan sedunia.
  • Sukar untuk dibayangkan bagaimana keadaan sebenar yang terjadi di Gaza pada awal bulan Mac 2008 yang lalu apabila lebih daripada 120 penduduk Palestin yang tidak berdosa dibunuh secara kejam dalam tempoh hanya seminggu. 
  • Konspirasi menyepi yang berlaku adalah satu jenayah yang lebih teruk daripada apa yang telah berlaku di Gaza baru-baru ini.
  • Tiada angka yang tepat bilangan jumlah bayi yang meninggal duniakerana inkubator tidak dapat berfungsi kerana ketiadaan bekalan elektrik ataupun mati disebabkan kekurangan ubat secara berpanjangan.
  • Ramai penduduk Gaza sebelum ini yang meninggal dunia bukan kerana serangan udara Israel tetapi adalah disebabkan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan.
  • Bahkan pada 20 Januari 2008, penduduk Gaza terpaksa hidup dalam kegelapan dan kesejukan yang amat sangat untuk beberapa hari di musim sejuk apabila janakuasa utamanya tidak lagi boleh berfungsikerana tiada bekalan petrol yang mencukupi

[Sumber: Zainur Rashid Zainuddin, Palestin Dijajah - Di Manakah Solahuddinnya, 2009]

p/s: Semoga mereka terus kuat dalam perjuang ini.. ya ALLAH, berilah kemenangan dan kejayaan itu kepada kami, hamba-hambaMU.. ameen




sebutir air mata yang jatuh kerana keinsafan adalah lebih baik daripada sejuta mutiara di dasar lautan, sejernih wajah kerana wudhu yang sempurna adalah lebih bercahaya daripada kilauan segunung emas permata, sesuci hati kerana cinta ILAHI itulah hakikat cinta yang abadi..

Wednesday 5 October 2011

Kita Lahir . .



Assalamualaikum wbk..

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang satu dan tiada taranya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, baginda Nabi Muhammad saw, keluarga dan sekalian sahabat.

Ingin aku berkisah tentang diri. Setiap daripada kita, manusia ini lahir dengan cara yang sama. Lahir daripada insan yang bergelar ibu atas kehendak dan izin-Nya. Namun, kita mati dengan cara yang berbeza-beza, bukan? Ya, itulah hakikat insan. Walau siapa pun kita, kita pasti akan merasai mati. Tidak mengenal umur. Tidak mengenal pangkat. Tidak mengenal nama. Sama sahaja. Mati itu pasti.

Di ruangan ini, ingin aku berkisah akan diri insan. Kita lahir dengan segala sifat yang dikurniakan Ilahi. Adakah kita bersyukur? Kadang, diri selalu melihat kelebihan insan lain. Sehingga rasa rendah menyelit dalam sukma. Bukankah Nabi telah berpesan, pandanglah kepada mereka yang mempunyai kekurangan daripadamu, nescaya kamu akan bersyukur.

Kita lahir dengan dua mata di depan wajah kita kerana kita tidak boleh selalu melihat ke belakang supaya kita memandang masa depan. Kita dilahirkan dengan dua telinga di kiri dan kanan kita supaya kita dapat mendengar dari dua sisi, agar kita mendengar pujian dan kritikan dan memilih mana yang benar dan mana yang salah. Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita, sehingga tak peduli semiskin mana pun seseorang itu, kita masih kaya kerana tidak ada seorang pun yang dapat mencuri otak dan fikiran kita. Harga sebuah fikiran dalam otak kita jauh lebih mahal daripada emas dan berlian.

Kita lahir dengan dua mata dan dua telinga, tetapi kita hanya diberi satu mulut kerana mulut senjata yang tajam dan mampu membunuh. Sebab itu kita lebih banyak mendengar daripada banyak bercakap. Kita lahir dengan hanya satu hati jauh dalam diri kita, yang mengingatkan kita kepada penghargaan dan pemberian cinta Ilahi dari hati yang dalam. Wujud tanpa paksaan. Diberi dengan keikhlasan. Sehingga akhirnya, kita akan dapat cinta yang indah lagi hakiki.

Itulah hakikat insan. Lahir dengan segala nikmat yang dikurniakan Ilahi. Lahir dengan hati yang putih lagi bersih. Lahir dengan jiwa khalifah yang besar. Namun, kadang kita lupa. Bahawa kita hanya hamba yang lemah lagi hina. Hamba yang naïf dan miskin. Belajarlah mengenal erti syukur. Syukur akan nikmat Ilahi. syukur akan segala yang bersifat sementara ini. Kerana sesungguhnya, kepada-Nya jua kita kembali.


p/s: kadang kala, berdiam itu lebih baik. Diam tidak bermakna kalah atau mengalah. ^_^


sebutir air mata yang jatuh kerana keinsafan adalah lebih baik daripada sejuta mutiara di dasar lautan, sejernih wajah kerana wudhu yang sempurna adalah lebih bercahaya daripada kilauan segunung emas permata, sesuci hati kerana cinta ILAHI itulah hakikat cinta yang abadi..