picture by antontang of devian Art
Kita hidup sebagai seorang manusia yang tidak pernah terpisah daripada perasaan. Kita akan sentiasa merasa-rasa sepanjang kehidupan. Ini bukan soal rasa deria, tapi soal rasa hati, mungkin jauh namun penuh erti. Perasaan itu timbul atau ditimbulkan dengan sengaja? Soalan ini nampak bodoh tapi ada bezanya. Kita dipukul oleh seseorang, tiba-tiba kita merasa marah. Marah itu timbul atau kita timbulkan sendiri? Saya tidak maksudkan implikasi daripada perasaan tersebut, tapi tentang kemunculan perasaan itu.
Tatkala kita memandang seseorang dan jatuh hati, adakah perasaan itu timbul atau ditimbulkan? Selalunya perasaan itu datang tiba-tiba buat pertama kali, namun tanpa kita sedari ia berkembang dan akan terus menguasai diri jika kita terus melayannya. Dalam ertikata lain, kita hanyut dengan apa yang kita rasakan. Apabila kita marah, kita biarkan perasaan itu terus membiak. Apabila kita sedih, kita terus melayannya dan itu membuatkan kita menjadi semakin sedih. Boleh jadi juga perasaan itu kita yang timbulkan sendiri. Benarkah?
Persoalannya, adakah semua yang kita rasakan di sudut hati harus dilakukan atau direalisasikan? Misalnya kita rasa terpukau oleh kecantikan seorang wanita, haruskah kita melakukan perkara-perkara buruk untuk memenuhi kehendak perasaan kita? Tatkala kita merasa sangat marah kepada seseorang, adakah itu bererti kita harus mengeluarkan caci-maki kepadanya? Jika kita merasa tidak selesa dengan perintah-perintah Al-Quran, adakah itu bererti kita harus meninggalkannya?
Wajarkah seorang pemimpin menarik diri daripada memimpin hanya kerana merasa kecil hati dengan teguran orang yang dipimpinnya? Atau seorang da’i meninggalkan dakwah kerana merasa tidak kena dengan jiwanya? Atau rasa bersalah membuatkan kita takut untuk bertindak dan membuat keputusan? Rasa kita sentiasa berubah-ubah. Perasaan yang pertama timbul daripada hati kita menggambarkan tahap iman dan aqidah kita.
Namun, perasaan kita boleh dikawal dan dihalakan kepada keadaan yang sepatunya. Perasaan semata-mata tanpa dalil, matlamat dan tujuan yang jelas tidak cukup untuk melahirkan keputusan yang benar dan tepat. Firman Allah yang bermaksud:
“Diwajibkan atas kamu berperang dan itu dibenci oleh kamu. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah: 216)
Oleh itu, apa jua yang kita rasakan, jangan sampai ia menghalang kita untuk melakukan kebaikan dan jangan dijadikan alasan untuk berbuat sesuka rasa hati. Al-Quran dan Hadith harus kita jadikan sebagai dasar dalam menilai apa yang kita rasakan. Kita adalah insan biasa. Rasa-rasa kita terkadang dipengaruhi oleh bisikan syaitan dan boleh jadi membuatkan kita menjadi kurang pasti dan sentiasa dalam keraguan. Jangan sampai rasa-rasa semata-mata menjadi pegangan kita dan Al-Quran serta Hadith ditolak tepi.
Rasul telah berpesan:
“Apabila kamu tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu”
Bagi mereka yang mengaku dirinya da’i, jangan sampai rasa susah dalam hati membuatkan kita melangkah pergi meninggalkan dakwah. Kehidupan nanti bukan semakin membaik, bahkan lebih menyesakkan dada. Sampai bila-bila kita akan terus terdorong oleh rasa-rasa dan tidak mampu menguasai diri dengan iman dan takwa. Sekalipun di dunia kita terasa aman, di akhirat belum pasti. Anda pasti? Atau “rasa-rasanya” pasti?
http://zulyunus.com (PAKSI.net)
p/s: Kita adalah insan lemah yang tidak pernah lepas daripada sikap "rasa-rasa"...semoga hati-hati kita sentiasa terpelihara daripada sifat mazmumah..insyaALLAH..
No comments:
Post a Comment